Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas dadah jenis kokain dan ganja bernilai lebih RM2.9 juta dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di daerah Tawau, 21 Mei lalu.
Dalam operasi jam 11.45 pagi itu, pasukan penguatkuasa JKDM menyerbu sebuah premis perkhidmatan kurier dan berjaya mengesan dua kotak mencurigakan.
Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan bahan yang disyaki dadah berbahaya jenis kokain dan ganja.
“Pemeriksaan terhadap kotak pertama menemukan 10 plastik disyaki dadah jenis kokain yang dianggarkan seberat 4.6 kilogram dengan nilai rampasan RM2.048 juta.
“Manakala pemeriksaan ke atas kotak kedua menemukan 10 bungkusan aluminium foil yang mengandungi bunga kering mampat dipercayai ganja seberat 10.65 kilogram bernilai RM851,712.80,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam Sabah, Jalan Sulaman, di sini, kelmarin.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua jenis dadah berkenaan dianggarkan lebih RM2.9 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, modus operandi yang digunakan dalam kes ini adalah dengan mengirim bahan terlarang disyaki dadah menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup,” tegasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, JKDM Sabah turut berjaya mematahkan lima kes penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM1 juta.
Dr Ahmad Taufik berkata, semua rampasan dilaksanakan di sekitar daerah Keningau, Sook, Kuala Penyu, Tawau serta Pelabuhan Sepanggar.
Katanya, pihaknya turut merampas sebuah kereta Honda Jazz bernilai lebih RM60,000 selepas disyaki tidak berkastam di kawasan Kampung Tinagat, Tawau.
“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(d) akta yang sama,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Dr Ahmad Taufik menunjukkan dadah jenis Kokain yang berjaya dirampas dalam serbuan terhadap sebuah premis perkhidmatan kurier.

DIRAMPAS ….. JKDM turut berjaya merampas rokok dan minuman keras yang diseludup masuk ke negeri ini.






