Samun dan cederakan wanita, tiga ditahan

Oleh FARDY BUNGGA


SANDAKAN: Seorang wanita berdepan detik mencemaskan selepas diserang sebelum disamun dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Batu 7, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan kerugian hampir RM20,000 termasuk barang kemas selepas dilarikan seorang penjenayah.
Bagaimanapun, hasil kecekapan siasatan polis membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga asing bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K.Ramasamy berkata, berdasarkan siasatan mendapati, mangsa diserang seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke rumah melalui tingkap.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit dan barang kemas dengan anggaran kerugian kira-kira RM20,000.
“Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis melancarkan beberapa operasi sebelum berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang penjaga premis pajak gadai di sekitar Sandakan pada 24 hingga 25 Mac lalu.
“Suspek utama yang ditahan dikenalpasti warga asing selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta penemuan beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, barang kemas dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan kediaman selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.
Sebelum ini, video dan gambar suspek tular di media sosial memaparkan lelaki terbabit memecah masuk rumah mangsa dengan memakai topi, baju lengan panjang dan seluar pendek.

TULAR …. Suspek dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian.