RM47.2 Juta Perkasa Industri Kraf Sabah, 22,038 Rakyat Terima Manfaat

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) melaksanakan sebanyak 1,066 program dengan peruntukan keseluruhan RM47.2 juta bagi tempoh 2011 hingga 2026, sekali gus memberi manfaat kepada 22,038 peserta dalam usaha memperkasa industri kraf dan ekonomi masyarakat tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan pembangunan industri kraf bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat.
“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah, tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan 29 program PKS yang melibatkan 200 peserta kumpulan sasar.
Katanya, kekayaan warisan kraf Sabah termasuk tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan serta seni manik perlu terus dipelihara dan dikembangkan oleh generasi muda agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, pembangunan modal insan juga perlu seiring perubahan teknologi dan keperluan industri, dengan pendidikan, latihan, keusahawanan serta akses pasaran saling melengkapi bagi membolehkan kemahiran diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan.
Beliau berkata, potensi industri kraf Sabah turut terserlah menerusi penyertaan batik dan cetakan digital PKS dalam peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026.
Usaha memperluas pembangunan industri itu turut diperkukuh menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), selain penyerahan surat hasrat (LOI) kepada Yayasan Sabah oleh Politeknik Kota Kinabalu, APPGM-SDG dan Sugee Group Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan peranan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam memperluas peluang pembangunan modal insan menerusi PKAN.
Bagi tempoh 2016 hingga 2026, KTYS melaksanakan 93 program dengan peruntukan RM15.01 juta yang melibatkan 1,936 peserta.
Antara inisiatifnya ialah Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang mencatat peningkatan kadar kelulusan daripada 35 kepada 98 peratus bagi SPM 2025, melibatkan tiga sekolah dan 200 pelajar. Penyertaan program itu diperluas kepada 300 pelajar daripada enam sekolah tahun ini.
Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) membantu meningkatkan pendapatan 43 daripada 89 peserta melalui kemahiran pemprosesan makanan hasil laut.
Sementara itu, UCSF melaksanakan 85 program dengan peruntukan RM11.7 juta yang memanfaatkan 1,842 peserta bagi tempoh 2015 hingga 2025.
Bagi PKAN 2026, UCSF turut melaksanakan program ExPERTISE dengan peruntukan RM750,000 bagi 11 program melibatkan 314 belia dan komuniti Anak Negeri Sabah.
Antara inisiatif lain ialah Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC), yang menyaksikan 13 pelajar mendapat penempatan latihan selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
Program BRIDGE pula melaksanakan sembilan program meliputi seni dan kraf, pelancongan, hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains, teknologi dan pertanian, membabitkan 292 peserta dari beberapa daerah termasuk Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kinabatangan.
Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha pembangunan yang berpaksikan rakyat bagi memastikan lebih banyak peluang pendidikan, kemahiran dan ekonomi dapat dinikmati masyarakat Sabah.

PENYERAHAN GERAN… Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif menyampaikan Geran Program SURIA kepada wakil Persatuan Kraftangan Beluran (D’Gosing).