Warga asing ditahan bersama syabu bernilai RM105,000

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan bersama lebih tiga kilogram syabu dalam serbuan di kawasan Indrasabah Fishing Paradise, di sini, Jumaat lalu.
Dalam operasi jam 3.30 petang itu, suspek berusia 30-an itu ditahan bersama 3,085.64 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM105,000.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua serbuan dijalankan, suspek yang dikesan dalam keadaan mencurigakan cuba melarikan diri dan membuang sebuah beg.
Katanya, suspek yang cuba bertindak agresif berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang objek terlarang pada badan suspek.
“Bagaimanapun, suspek kemudian menunjukkan lokasi beg yang dibuang sebelum itu untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui tiga bungkusan teh bertulisan ‘Guanyinwang’ berwarna hijau,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini kelmarin.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan mendapati setiap bungkusan mengandungi peket lutsinar berisi bahan disyaki syabu.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM105,000 dan hasil pemeriksaan lanjut, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis sedang giat mengesan rangkaian pengedaran yang berkait dengan suspek untuk siasatan lanjut.
“Polis menegaskan bahawa memiliki, mengedar atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.-FB.

SIDANG MEDIA …. Jasmin menunjukkan syabu yang berjaya dirampas daripada suspek.