Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan mengedar air ketum dalam tiga serbuan berasingan di Putatan, semalam.
Operasi bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut merampas 78,500 mililiter cecair disyaki air ketum bernilai RM1,320.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, ketiga-tiga lelaki yang ditahan berusia lingkungan 33 hingga 41 tahun.
Katanya, semua suspek ditahan bersama 53 botol plastik berisi air ketum yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Semua suspek dan barang rampasan terus dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan selanjutnya.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Sammy berkata, polis memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Polis juga menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah dadah atau air ketum untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.








