Pemilik Perodua Kelisa diburu bantu siasatan kemalangan maut

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA MARUDU: Polis daerah ini memburu pemilik Perodua Kelisa selepas dipercayai melarikan diri dalam kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sabit, di sini, 22 September lalu.
Kemalangan jam 4.05 petang itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux, sebuah motosikal jenis Honda Dash dan Perodua Kelisa dengan nombor pendaftaran yang masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 4.30 petang.
Manakala katanya, pemandu Kelisa dipercayai terus meninggalkan lokasi kejadian. sejurus selepas kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Simiun berkata, sehingga kini pemilik kenderaan berkenaan belum tampil membuat laporan polis.
Katanya, pihak polis turut giat mengesan pemandu berkenaan selain meminta saksi kejadian atau mereka yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke Pejabat Trafik IPD Kota Marudu atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Julina Samual di talian 010-3901982,” katanya.
Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

DIBURU …. Perodua Kelisa yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.