Oleh FARDY BUNGGA
SOOK: Seramai 153 penduduk melibatkan 42 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana, yang dibuka sejak Selasa lalu.
Berdasarkan perkembangan harian bencana yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah mendedahkan, jumlah mangsa meningkat secara berperingkat sejak PPS berkenaan mula beroperasi.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan, 44 adalah lelaki dewasa atau warga emas, manakala 46 perempuan dewasa atau warga emas.
“Mangsa turut membabitkan 26 kanak-kanak lelaki dan 37 kanak-kanak perempuan.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini, manakala tiada rekod penduduk terjejas yang terkepung atau berada di luar PPS.
“Secara keseluruhan, banjir berkenaan membabitkan satu daerah iaitu Sook, dengan tiga kampung terlibat dan sebuah PPS masih beroperasi,” katanya.
Menurutnya, data berkenaan adalah berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sook setakat jam 12 tengah hari, 25 November 2026.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal menjelang musim banjir di Sabah berikutan perubahan keadaan cuaca yang berpotensi meningkatkan risiko kejadian banjir.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai bencana daripada sumber rasmi dan boleh dipercayai serta mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya arahan berpindah ke kawasan selamat.
Penduduk yang terlibat hendaklah segera berpindah ke kawasan tanah tinggi atau pusat pemindahan yang ditetapkan apabila diarahkan berbuat demikian.
Mereka turut diingatkan supaya menjauhi kawasan berisiko banjir, sungai, longkang dan aliran air deras yang boleh mengancam keselamatan.
Ibu bapa dan penjaga pula perlu mengawasi anak-anak dengan rapi serta memastikan mereka tidak bermain di kawasan air banjir, sungai, longkang atau berhampiran saliran air yang berbahaya.
Selain itu, orang ramai digalakkan menyediakan beg kecemasan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti peralatan pertolongan cemas, lampu suluh dan bateri tambahan.
Persediaan awal, kesedaran serta pematuhan terhadap arahan keselamatan amat penting bagi mengurangkan risiko dan melindungi nyawa ketika berdepan bencana banjir.

SEMUA mangsa berkenaan ditempat di PPS Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana, Sook.








