TAWAU: Sebuah rumah kayu musnah dalam kebakaran di Jalan Banyan Drive, Jalan Utara di sini, kelmarin.
Balai Bomba dan Penyelamat Tawau menerima panggilan kecemasan menerusi NGMERS999 sebelum 15 anggota bomba tiba di lokasi pada 12.59 tengah hari, kira-kira dua kilometer dari balai.
Operasi turut dibantu sembilan anggota Pasukan Bomba Komuniti Titingan.
Komander Operasi PBK I Jerry Ibno berkata rumah berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.
“Bahangan api turut menjejaskan unit pemeluwap penghawa dingin di sebuah rumah berhampiran,” katanya.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 1.40 tengah hari, manakala operasi ditamatkan pada 2.56 petang selepas anggota bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan memastikan kawasan kejadian selamat.
Operasi turut dibantu anggota polis, Sabah Electricity dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.-James Leong

Rumah kayu di Tawau terbakar dalam kejadian kelmarin.





