Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, di sini, pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah lori Nissan UD, Proton Iriz dan Toyota Avanza.
Mangsa, Ranchanna Hujang, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent akibat kecederaan dalaman.
Anak perempuannya berusia 17 tahun pula mengalami patah bahu kiri dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari Batu 8 menuju ke Batu 32 dipercayai gagal berhenti ketika menghampiri bulatan lalu merempuh bahagian belakang Proton Iriz.
Lori itu kemudian memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan Toyota Avanza dipandu Ranchanna yang ketika itu sudah berada di dalam bulatan berkenaan.
Pemandu lori dan pemandu Proton Iriz tidak mengalami kecederaan, manakala dua lagi penumpang Proton Iriz cedera ringan.
Semua mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sandakan untuk bedah siasat yang dijadualkan pada Khamis.
Pemandu lori ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketiga-tiga kenderaan terbabit turut disita untuk pemeriksaan lanjut termasuk pemeriksaan Puspakom serta ujian kimia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, dalam kenyataan menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat serta sentiasa berwaspada, khususnya ketika melalui bulatan atau dalam keadaan cuaca tidak menentu, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.

NAHAS … Keadaan di lokasi kemalangan maut di Sandakan pada Rabu.







