KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap mekanisme Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memperkukuhkan kawalan subsidi diesel serta mengekang ketirisan dan penyalahgunaan subsidi bahan api.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara penambahbaikan utama yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu ialah peluasan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara, berbanding hanya di Cameron Highlands sebelum ini.
Menurut beliau, syarikat dalam sektor pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh membuat pendaftaran SKDS bermula 1 Jun depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, Sabtu. Turut hadir Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidan.
Armizan berkata, kerajaan turut memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu bagi tujuan pengangkutan darat barangan.
“Bagaimanapun, kelulusan tertakluk kepada pertukaran pendaftaran kenderaan atas nama syarikat serta pematuhan syarat yang ditetapkan termasuk pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan untuk memperkukuhkan mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan terhadap penggunaan fleet card.
Katanya, setiap fleet card akan diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan yang ditetapkan.
“Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.
Menurut beliau, syarikat yang memerlukan penggunaan diesel melebihi had ditetapkan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setiakan oleh KPDN.
Rayuan boleh dibuat secara dalam talian menerusi e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau di kaunter KPDN berhampiran dengan pertimbangan berdasarkan justifikasi operasi dan rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS.
Armizan turut menggalakkan syarikat sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air yang masih belum menikmati subsidi petrol dan diesel supaya segera membuat pendaftaran SKPS dan SKDS menerusi portal MySubsidi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua syarikat berdaftar supaya bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang diperoleh daripada syarikat minyak.
Katanya, sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta selain syarikat terbabit disenarai hitam.
Mengulas mengenai situasi semasa, Armizan berkata kerajaan kekal komited meneruskan penyaluran subsidi bahan api walaupun berdepan konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga dan bekalan global serta lonjakan harga minyak dunia.
Menurut beliau, implikasi subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sebelum konflik tercetus ialah RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026.
“Namun sejak konflik bermula pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi petrol dan diesel meningkat kepada RM5.67 bilion bagi bulan Mac, iaitu peningkatan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan kini melaksanakan pelbagai strategi penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar menerusi kementerian serta agensi berkaitan bagi mengurangkan kesan krisis tenaga dan bekalan global terhadap rakyat.
Sehingga 20 Mei lalu, katanya, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah menerima manfaat subsidi petrol dan diesel.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat melibatkan 38,817 kenderaan menerima manfaat SKPS, manakala 160,527 syarikat membabitkan 393,678 kenderaan menerima manfaat SKDS,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Armizan (tengah) diiringi Azman (kiri) dan Shahril (kanan) ketika mengadakan sidang media berhubung penambahbaikan mekanisme pelaksanaan SKDS di Kundasang.








