50 pelajar terima sumbangan baju raya Parlimen Sepanggar

Oleh JOHN TAMBANAN


SEPANGGAR: Menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, seramai 50 murid daripada SK Gantisan dan SK Pengiran Siti Hafsah, Karambunai, diraikan menerusi sumbangan baju raya anjuran Pejabat Parlimen Sepanggar.
Program kebajikan tahunan yang memasuki siri ketiga itu berlangsung di Jakel Alamesra dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian komitmen berterusan Parlimen Sepanggar dalam membantu golongan B40, khususnya kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan, agar dapat merasai kemeriahan Aidilfitri.
“Program ini adalah usaha tahunan untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir daripada menikmati kegembiraan hari raya hanya kerana kekangan kewangan. Kita mahu mereka turut merasai suasana Syawal dengan penuh ceria,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Tambahnya, pemilihan penerima dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan senarai dalam sistem e-Kasih, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga daif serta anak yatim.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tersebut dilaksanakan secara bergilir melibatkan sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Sepanggar sebagai pendekatan inklusif dalam menyantuni komuniti setempat.
Dalam pada itu, Mustapha Sakmud menasihati umat Islam yang merancang pulang ke kampung halaman agar membuat perancangan awal perjalanan berikutan jangkaan peningkatan aliran trafik sempena musim perayaan.
“Rancang perjalanan dengan baik dan sentiasa berhati-hati di jalan raya demi keselamatan diri serta keluarga,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat agar terus berdoa demi kesejahteraan negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.
“Kita berharap situasi global akan bertambah baik agar kesannya terhadap negara dapat diminimumkan,” katanya.

BAJU RAYA …. Mustapha membantu memakaikan baju raya kepada salah seorang kanak-kanak pada majlis berkenaan.