Baki 21 kerusi diagihkan kepada parti nasional – Masiung
TONGOD: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka meletakkan calon di sekurang-kurangnya 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan datang.
Perkara itu dibayangkan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, berdasarkan sentimen rakyat yang semakin berpihak kepada parti tempatan.
Katanya, jumlah berkenaan tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan GRS dan baki 21 kerusi lagi dijangka diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalin kerjasama dengan gabungan berkenaan.
“Berdasarkan sentimen kuat rakyat Sabah kepada parti tempatan menjelang PRN kali ini, saya jangka GRS akan bertanding di 52 kerusi sekiranya dipersetujui oleh Pengerusi GRS.
“Selebihnya, sebanyak 21 kerusi akan diagih kepada parti nasional yang sedia bekerjasama dengan kita,” katanya ketika berucap dalam siri Jelajah GRS di Kampung Mananam, petang semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, berkata beliau yakin calon-calon daripada parti tempatan dalam GRS mampu menjadi taruhan utama rakyat, sekali gus menolak parti pembangkang yang pernah ditolak rakyat ketika menjadi Kerajaan Negeri sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan agar GRS lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama politik, mengambil iktibar daripada insiden ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023 yang hampir menggugat kestabilan Kerajaan Negeri.
“Kita tidak akan sewenang-wenangnya bekerjasama dengan pihak yang ada sejarah cuba menjatuhkan kerajaan. GRS kini lebih berhati-hati dalam membentuk sebarang pakatan politik,” katanya.
Masiung turut menegaskan, hubungan semasa antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) berjalan baik di peringkat Kerajaan Negeri dan wajar dikekalkan menjelang PRN akan datang.
“Jika kesepakatan GRS dan PH dikekalkan, saya percaya gabungan ini mampu sekali lagi membentuk Kerajaan Negeri yang stabil dan diyakini rakyat,” katanya.
Terdahulu, ketibaan Masiung disambut sebagai ‘wira’ oleh masyarakat Orang Sungai Making di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mananam, diiringi konvoi lebih 30 motosikal membawa bendera GRS.
Program jelajah berkenaan turut dihadiri semua Ketua Bahagian parti-parti komponen GRS dalam kawasan DUN Kuamut.









