LIMA WARGA ASING CEROBOH KAWASAN PELANTAR MINYAK DAN INGKAR PKP

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan W.P Labuan, berjaya menahan lima bot pemancing dalam satu operasi khas di dua kawasan pelantar Erb West dan pelantar Kebabangan, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 11.30 malam itu, kelima-lima bot pancing berkenaan berjaya dipintas anggota Maritim Malaysia selepas dikesan menceroboh kawasan pelantar dan ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi berkenaan dilancarkan untuk penguatkuasaan arahan PKP fasa tiga dan memantau aktiviti pencerobohan kawasan pelantar minyak di kawasan perairan Kota Kinabalu.

Katanya, semua bot pancing yang berjaya ditahan dikendalikan oleh lima orang lelaki warga Filipina, termasuk seorang pemegang dokumen IMM13.

“Empat lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan ketika ditahan mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran Maritim Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kawasan pelantar minyak sentiasa menjadi tumpuan bot-bot pancing disebabkan terdapat pelbagai jenis ikan. Kebiasaannya, para nelayan boleh mengaut lebih banyak keuntungan”, katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Rosli berkata, selain melakukan kesalahan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, semua individu itu juga didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bot dan semua individu terbabit kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim, Sepanggar untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia ingin menegaskan, komuniti nelayan dilarang menceroboh kawasan pelantar minyak atau melakukan sebarang aktiviti perikanan kerana boleh mengundang bahaya kepada nelayan dan pekerja di pelantar berkenaan.

“Walaupun tiada sebarang perkara yang tidak diingini direkodkan berlaku di kawasan pelantar minyak namun keselamatan nyawa harus diberi keutamaan,”katanya.

Menurutnya, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mohd Rosli mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan supaya tidak menggaji warga asing untuk mengendalikan bot mereka tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan kebenaran daripada pihak Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Sekiranya ini berlaku pemilik bot berkenaan juga akan dikenakan tindakan undang-undang.

Maritim Malaysia tidak akan memberi kerjasama kepada mana-mana pihak atau individu yang melanggar undang-undang laut negara.

“Setakat ini, Maritim Negeri Sabah sudah merekodkan lima kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, sepanjang tempoh PKP ini.

Tamat