MARITIM MALAYSIA SELAMATKAN DUA MANGSA BOT KARAM DI PULAU SEBATIK


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan dua mangsa bot jongkong karam di Sungai Pukol, Pulau Sebatik, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, dalam kejadian jam 5.00 petang itu, sebuah kapal ronda Maritim Malaysia Tawau yang melakukan Operasi Cegah PATI mengesan sebuah bot mencurigakan terapung berhampiran Sungai Pukol, di pulau berkenaan.

Katanya, dalam keadaan laut bergelora, pasukan Maritim Malaysia yang menghampiri bot berkenaan mendapati terdapat dua individu terperangkap di dalam sebuah bot jongkong yang hampir tenggelam.

“Anggota bot kemudiannya membantu menyelamatkan kedua-dua individu terbabit dan membawa mangsa ke kapal ronda Maritim Malaysia.

“Hasil siasatan awal, bot jongkong berkenaan dikatakan bergerak masuk dari Jeti Log Pond menuju ke Jeti Sungai Melayu. Namun secara tiba-tiba kedua-dua enjin bot mengalami kerosakan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Siva Kumar berkata, pam mudah alih pada bot berkenaan juga tidak dapat berfungsi untuk mengeluarkan air dari bot jongkong berkenaan.

Katanya, cuaca buruk dan lautan bergelora menyebabkan air laut masuk dengan banyak sehingga bot jongkong itu tidak dapat diselamatkan dan karam.

“Kedua-kedua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun pemilik menyatakan jumlah kerugian dialami dianggarkan sebanyak RM90,000 termasuk bot jongkong, dua enjin serta barang-barang runcit yang dibawa.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar pulang ke Sungai Melayu kira-kira jam 8.30 malam sebaik cuaca kembali tenang,”katanya.

Sementara itu, Siva Kumar memberitahu Daerah Tawau akan menghadapi fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan sehingga lewat bulan Mei 2020.

Katanya, fasa ini tidak mempunyai corak tiupan angin yang konsisten malahan perairan Tawau dijangka menerima tiupan angin yang lemah iaitu kurang dari 5 knot pada aras permukaan dan sentiasa berubah arah.

“Ciri tiupan angin seperti ini menjadikan daerah Tawau sebagai kawasan yang kondusif untuk pembentukan awan ribut petir.

“Oleh itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, peralatan di dalam bot diselenggarakan dengan baik serta sentiasa mengaturkan perjalanan ke Pulau Sebatik dengan baik,”katanya.

Siva Kumar berkata, komuniti maritim daerah ini juga perlu sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebarang maklumat jenayah, aduan serta bantuan kecemasan di laut boleh disalurkan di talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, di talian 089-752115 atau MERS 999,”katanya.

Tamat