Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Seramai 40 keluarga di Pulau Sepanggar, di sini, gembira apabila menerima sumbangan barangan keperluan dapur daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk persiapan sepanjang Ramadan tahun ini.
Seorang penduduk pulau berkenaan, Maidi Moksin, 50, berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia dan sebahagian besar penduduk pulau berkenaan mengalami kesukaran untuk mendapat bekalan makanan serta keperluan asas.
Katanya, ini berikutan pergerakan penduduk pulau ke tanah besar Kota Kinabalu dihadkan pihak berkuasa.
“Rata-rata penduduk di sini adalah nelayan dan kami sukar turun ke laut untuk menangkap ikan dan menjualnya bagi mendapatkan wang.
“Kami hanya ke laut untuk menangkap ikan sebagai lauk seharian dan jika ada tangkapan lebih, kami agihkan kepada jiran-jiran,” katanya ketika ditemui, semalam.
Maidi berkata, mereka bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami terutama pada Ramadan ini.
Pengerusi Masjid Al-Hassim Pulau Sepanggar, Islandar Ismail, 41, berkata, sumbangan ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup kepada 40 daripada 86 keluarga yang terpilih dan layak menerima bantuan ini.
“Dengan adanya sumbangan ini, dapatlah membantu memenuhi keperluan harian penduduk di sini, kerana ramai penduduk terjejas akibat wabak Covid-19 ini.
“Saya harap lebih ramai pihak akan tampil memberi bantuan kepada penduduk di sini. Sekurang-kurangnya kami tidak rasa dipinggirkan untuk mendapatkan bantuan keperluan berbanding di kawasan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki berkata, usaha menyampaikan sumbangan melalui kerjasama strategik antara YADIM dan PPM Sabah dan Pulau Sepanggar dipilih berikutan kawasan ini kurang mendapat perhatian berbanding tempat lain termasuk Pulau Gaya.
“Penduduk pulau sangat terkesan dengan bekalan bahan mentah yang tidak dapat disalurkan dengan mudah di sini sepanjang pelaksanaan PKP ini.
“Dengan bantuan ini diharapkan penduduk di sini dapat menyambut Ramadan dengan rasa disayangi dan diingati daripada kita… jika tiada halangan kita akan kembali memberikan keperluan harian berikutan sumbangan daripada pihak luar agak berkurangan di sini.
“Kita juga berterima kasih kepada pihak PPM kerana ini adalah salah satu bukti nyata anggota polis bukan sekadar menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang semata-mata tetapi juga turut melaksanakan kebajikan kepada masyarakat,” katanya.
Untuk rekod, jarak Pulau Sepanggar dari tanah besar Kota Kinabalu sejauh kira-kira empat batu nautika.
tamat







