Ditahan Miliki Bakakuk Dan Dadah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sipitang: Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama lima butir peluru hidup dalam serbuan di rumah pekerja kebun Kelapa Sawit di Sungai Tepewah Bamban, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek yang berusia 50-an itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas maklumat, beliau bersama sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sebuah rumah kosong dipercayai milik pekerja kebun kelapa sawit.

Katanya, hasil serbuan itu berjaya menahan seorang lelaki dan merampas senapang bakakuk bersama lima butir peluru hidup.

“Dalam serbuan ini, polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu berat kasar 0.55 gram.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa balik ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut.,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(1) akta sama.

Katanya, polis akan berusaha dan bekerja keras lagi untuk membanteras pengedaran dadah dan mengesan penagih khususnya di daerah ini.

“Polis juga sudah mengenalpasti identiti mereka di kawasan Bamban dan Mendalong yang dipercayai terbabit dalam aktivito penyalahgunaan dadah.

“Mohon kerjasama warga Sipitang menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan daerah ini,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengingatkan masyarakat di daerah ini supaya patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dalam fasa 3.

“Polis bertindak tegas menangkap mereka yang ingkar dan lain-lain kesalahan terutama kegiatan dadah yang merosakkan belia di daerah ini,” katanya.

tamat