
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Tawau: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas lemas ketika bermandi-manda di laut dalam kejadian di Jalan Apas, Batu 3 1/2 di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Abd Mutalib Ali Hussin, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi.
Katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi menggunakan jentera dan sebuah jentera kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Mangsa berjaya ditemui semula oleh penduduk kampung pada jam 8.42 sebelum ketibaan jentera bomba.
“Pasukan bomba kemudiannya bertindak membantu mengangkat mangsa dan seterusnya menyerahkannya kepada pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan proses CPR,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 10.10 pagi,”katanya.
Tamat









