Tiga Penagih Ditahan Ingkar PKP

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SIPITANG: Seorang wanita antara tiga individu yang ditahan selepas didapati bukan saja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah dalam keadaan khayal syabu ketika cuba melepasi sekatan jalan raya di Kampung Merintaman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki Perodua Alza ditahan polis selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Champin Piuh berkata, pemeriksaan mendapati suspek lelaki berusia 28 dan 32 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, hasil siasatan lanjut, kedua-dua lelaki yang dipercayai warganegara Filipina itu bersama seorang lagi penumpang wanita berusia 37 tahun berada dalam keadaan khayal.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek disyaki baru melepaskan gian kerana ketika ditahan mereka masih dalam keadaan khayal.

“Percakapan ketiga-tiga suspek juga tidak menentu dan polis terus menahan mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, ketiga-tiga tangkapan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati, wanita terbabit baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan sama mengikut Seksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan dijatuhi hukuman kerja sosial cuci tandas atas kesalahan ingkar PKP.

“Semua suspek ditahan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020, Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Champin memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita berusia 34 dan 37 dan merampas 5.72 gram dadah jenis syabu di di sebuah rumah di Jalan Pantai Sindumin, jam 2 petang semalam.

“Kedua-dua suspek bersama barang kes dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksysn 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi PKP dan duduk di rumah jika tidak ada urusan penting,” katanya.

tamat