Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
BEAUFORT: Seramai 11 lelaki termasuk seorang pelajar tahfiz yang berkumpul menunaikan solat bersama di Surau Kampung Binsulok, Membakut, di sini, petang tadi, ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam kejadian jam 3 petang itu, semua individu berusia 15 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, yang melaksanakan pemantauan PKP Op Covid-19.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, tangkapan itu susulan tular satu keping gambar mereka sedang menunaikan solat berjemaah melalui aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan kegusaran di kalangan masyarakat setempat.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menuju ke lokasi kejadian dan mencari semula semua individu yang terbabit sepertimana dalam gambar yang tular itu.
“Hasilnya menahan 11 orang daripada 14 orang jemaah yang solat Isyak dan Tarawih di surau berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, soal siasat terhadap semua suspek mendapati, mereka mengaku mengetahui mengenai pelaksanaan PKP dan sedar tindakan itu adalah salah disisi undang-undang kerana dengan sengaja berhimpun beramai-ramai.
“Dalam pengetahuan semua suspek, larangan itu masih berkuatkuasa namun tetap pergi solat berjemaah dan berkumpul di surau dengan alasan kampung mereka adalah masih zon hijau dan tidak ada yang positif Covid-19.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) (No.4) 2020,”katanya.
tamat






