Restoran Dibenarkan Beroperasi Mulai 4 Mei 2020.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kuala Lumpur: Premis restoran dibenarkan beroperasi bermula isnin depan tetapi perlu menuruti beberapa langkah yang digariskan.

Dalam pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, setiap langkah-langkah pencegahan yang digariskan sebelum ini masih perlu diamalkan.

Muhyiddin berkata, antara langkah yang digariskan adalah memastikan jarak antara meja pelanggan diletakkan pada jarak yang selamat iaitu sekurang-kurangnya dua meter.

Selain itu katanya, jumlah pelanggan yang duduk di setiap meja juga perlu dikurangkan berbanding kapasiti sebelum ini.

“Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan, setiap meja perlu diletakkan notis sama ada untuk satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.

“Begitu juga sekiranya sebelum ini meja besar boleh menempatkan ramai orang, maka sekurang-kurangnya hanya empat orang saja yang dibenarkan,” katanya ketika berucap secara siaran langsung Sempena Hari Buruh, hari ini.

Muhyiddin turut menasihatkan pengusaha atau pengendali restoran supaya mengambil maklumat seperti nama dan nombor telefon setiap pelanggan mereka.

Katanya, ia bagi memudahkan proses pengesanan individu yang melanggan di restoran mereka sekiranya terdapat kes jangkitan Covid-19 di kawasan mereka.

“Kita juga menggalakkan pengusaha restoran supaya menyediakan alat pengesan suhu dan hand sanitizer di kaunter bayaran.

“Selain itu, penyediaan sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan juga digalakkan,” katanya.

tamat