Sumbangan NGO Dialu-alukan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Jabatan Penjara Negeri Sabah (JPNS) sentiasa mengalu-alukan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) kepada penghuni penjara di negeri dan wilayah ini.

Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Teyun Thian Eim berkata, meskipun berdepan cabaran pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19, inisiatif sumbangan itu mampu memberikan semangat kepada pihaknya yang turut-serta menyumbang kepada masyarakat.

Katanya, ini berikutan sebilangan penghuni di Penjara Pusat Kota Kinabalu juga secara langsung terlibat dalam aktiviti membekal keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pihak memerlukan.

“Sudah tentu, dengan adanya sumbangan atau bantuan apa juga barangan keperluan amat kami hargai.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak NGO yang sudah banyak tampil membantu ketika musibah Covid-19 di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan daripada badan amal Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Anak Sabah (MAS) di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Kepayan, baru-baru ini.

Hadir sama adalah Presiden MAS, Suhaimie Buang.

Dalam majlis berkenaan, pertubuhan MAS  menyerahkan pelbagai sumbangan berupa makanan dan barangan dapur kepada petugas-petugas serta kakitangan Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Teyun berkata, sumbangan yang diberikan amat dihargai untuk sama-sama menempuhi detik sukar ketika ini.

tamat.