Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlanggar sebuah motosikal sebelum terbabas dan merempuh pokok dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, Inanam, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa Richard Mukoi, 38, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum kejadian, penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 berusia 23 tahun dan kereta Proton Persona yang dipandu mangsa bergerak dari arah sama menuju ke arah Manggatal.
Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkannya terlanggar motosikal di lorong kiri.
“Penunggang motosikal yang dirempuh dari belakang terus terjatuh sebelum terseret beberapa meter dari impak perlanggaran.
“Kenderaan dipandu mangsa turut pula terbabas di kiri jalan lalu melanggar pokok di tepi jalan. Akibat daripada itu, pemandu terbabit tersepit dan disahkan meninggal dunia pasukan perubatan dari Hospital Likas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, penunggang motosikal terbabit pula cedera dibahagian badan, kaki serta tangan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
tamat





