
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Tuaran: Tiga peniaga dikenakan tindakan undang-undang selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan Gas Petroleum Cecair (LPG) di daerah ini, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, ketiga-tiga kes berkenaan dihasilkan semasa pemeriksaan bekalan di sekitar Pekan Tuaran oleh Pasukan Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Tuaran.
Katanya, hasil operasi berkenaan, pihaknya berjaya merampas 119 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dan sebuah lori dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM39,050.
“Antara kesalahan yang disyaki dilakukan oleh peniaga adalah beroperasi sebagai pemborong LPG tanpa Lesen Borong LPG yang sah selepas lesen yang dimiliki tamat tempoh pada 31 Mei 2019.
“Selain itu, seorang lagi peniaga didapati memiliki LPG melebihi jumlah yang dibenarkan dalam Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual iaitu sebanyak 19 tong LPG berbanding kebenaran lesen hanya sebanyak 10 tong LPG,” katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, seorang lagi peniaga pula dikenakan kompaun RM2,500 kerana gagal meletakkan tanda harga pada LPG yang dijual.
Katanya, semua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“LPG adalah salah satu daripada Barang Kawalan Berjadual yang diwartakan mengikut undang-undang serta membabitkan nilai subsidi yang tinggi.
“Tidak ada mana-mana orang yang boleh berurus niaga Barang Kawalan Berjadual tanpa kebenaran Pengawal Bekalan,” katanya.

Georgie berkata, bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat denda tidak melebihi RM2 juta. Manakala bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 pula, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.
“Hukuman denda bagi syarikat pula ialah tidak melebihi RM100,000. Semua peniaga diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan KPDNHEP Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan ke atas para pengguna,” katanya.
Tamat







