
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Nabawan: Tiga keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Simatuoh, di sini, musnah terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, kebakaran membabitkan tiga rumah jenis tidak kekal yang berkeluasan keseluruhan kira-kira 300 meter persegi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.15 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama tujuh anggota yang diketuai Pegawai Bomba Ranizan Samirin dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 80 kilometer dari Balai Bomba Nabawan.
“Setibanya di lokasi kejadian, api masih marak memusnah rumah yang terbabit dan operasi terus dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 33 meter.
“Api berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 7.50 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas memastikan keadaan di tempat kejadian terkawal dan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden ini.
Katanya, bahagian forensik JBPM juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian ini.
Tamat








