Suami Tetak Isteri Selepas Ditegur.

Suspek berusia 37 tahun bertindak menetak isterinya selepas berang ditegur.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bertindak  menetak isterinya selepas berang kerana ditegur tidak pergi kerja dalam kejadian di bilik sewa mereka di Kampung Sinulihan, Inanam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, wanita berusia 31 terbabit dilaporkan cedera didahi dan kedua-dua tangannya selepas ditetak dengan parang oleh suaminya.

Kejadian dikatakan tercetus selepas mangsa menegur suaminya yang sudah empat hari tidak turun kerja selain menasihatinya supaya tidak terbabit dalam aktiviti penagihan syabu.

Difahamkan, suami mangsa tidak puas hati dan menuduh mangsa menceritakan hal berkenaan kepada jiran tetangga sebelum menetak isterinya dengan parang.

Parang yang digunakan dalam kejadian berkenaan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang berang terus mengambil parang dan cuba menetak isterinya.

Katanya, mangsa pula cuba menyelamatkan diri dengan menahan parang berkenaan menggunakan kedua-dua belah tangannya.

“Akibat itu mangsa cedera di kedua belah tangannya. Suspek kemudian melibas parang sekali lagi ke arah mangsa dan terkena pada bahagian dahinya.

“Kejadian itu disedari oleh jiran mereka dan terus membantu meleraikan pergaduhan itu sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pasukan polis yang tiba sebaik menerima maklumat itu berjaya menahan suspek dan merampas parang yang digunakan dalam insiden berkenaan.

“Mangsa yang luka dan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan terpaksa menerima beberapa jahitan di tangan kanan dan kiri.

“Suspek berusia 37 tahun yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak puas hati apabila ditegur oleh isterinya kerana tidak pergi kerja dan melarang suspek terbabit pengambilan syabu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

tamat