Lapan Remaja Dikompaun Ingkar PKPB.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

LABUAN: Lapan remaja dikenakan kompaun selepas didapati melepak sambil bermain game di kawasan koridor tingkat 11, apartment Ganggarak Permai, di sini, pagi tadi.

Semua remaja lelaki berusia 17 hingga 19 tahun itu dikenakan tindakan berkenaan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa.

Semua suspek yang ditahan pasukan pemantauan PKPB pada jam 5 pagi itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan remaja sedang berkumpul dan membuat bising di kawasan koridor apartment itu.

Katanya, pasukan pemantuan PKPB kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati remaja terbabit sedang bermain game di telefon bimbit sesama sendiri.

“Semua remaja terbabit didapati berkumpul dan mengabaikan penjarakan sosial.

“Semua mereka dibawa ke Balai Polis Labuan untuk tindakan kompaun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, kompaun dikenakan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020 iaitu kesalahan mengadakan suatu perhimpunan sosial yang dilarang.

“Kesalahan kompaun itu memperuntukkan hukuman denda RM1,000 dan hendaklah dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pejabat Kesihatan Labuan.

“Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan Labuan,” tegasnya.

tamat