Penjenayah Cuba Rempuh Polis Ditembak Mati.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kudat: Seorang penjenayah yang cuba merempuh anggota polis mati ditembak dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Karang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, penjenayah berusia 40-an terbabit yang memandu van pelancong dikatakan membawa muatan barangan curi.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, sebelum kejadian pihaknya menerima maklumat berkenaan sebuah van disyaki membawa muatan barangan curi berada di sekitar pekan daerah ini.

Katanya, pasukan polis kemudian menjalankan rondaan sebelum menemui van berkenaan yang dinaiki dua lelaki diparkir bersebelahan sebuah restoran dalam keadaan enjinnya masih hidup.

“Anggota polis kemudian mendekati van itu untuk pemeriksaan namun suspek bertindak mengundurkan kenderaan secara mengejut dan hampir merempuh salah seorang anggota polis.

“Anggota polis berdepan risiko terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai tayar dibahagian belakang namun suspek terus memecut kenderaannya meloloskan diri dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, van dipandu suspek kemudian dikesan berada di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Karang.

Katanya, anggota polis terus mengejar sebelum berjaya memintas van dinaiki kedua-dua suspek namun pemandu van berkenaan sekali lagi bertindak memecut cuba merempuh anggota polis.

“Anggota polis bertugas terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri dan van berkenaan terus terbabas ke kawasan semak.

“Pemandu van itu sempat keluar daripada kenderaan tetapi terus rebah manakala rakannya berusia 20-an yang cuba melarikan diri berjaya dihalang dan berlaku sedikit pergelutan,” katanya.

Menurutnya, pemandu van disahkan mati di tempat kejadian akibat tembakan yang terkena dibahagian leher.

“Pemeriksaan terhadap van itu menemui pelbagai komponen kenderaan dipercayai dicuri oleh kedua-dua suspek.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Pulau Banggi dan Semporna.

“Kedua-dua suspek ini juga dipercayai terbabit 20 kes jenayah membabitkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Kes siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

tamat