Semua Ahli Parlimen Dan ADUN Teguh Menyokong Kepimpinan Ketua Menteri Sabah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: “Kehadiran hampir keseluruhan Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan-UPKO-PH memberi gambaran kekuatan kerajaan negeri Sabah, hari ini,” tegas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata, desas-desus yang menyatakan keadaan politik Sabah goyah kononnya beberapa wakil rakyat akan melompat parti adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, kehadiran hampir semua Ahli Parlimen dan ADUN Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pertemuan itu, jelas menunjukkan semua wakil rakyat masih berdiri teguh menyokong kepimpinan kerajaan negeri.

“Biarpun ada khabar angin menyatakan ada MP dan ADUN kerajaan akan melompat bagi menyokong Perikatan Nasional (PN) namun, kehadiran mereka hari ini jelas menafikan dakwaan itu.

“ADUN dan MP kita masih kuat, kental dan berpendirian teguh. Seperti saya nyatakan wakil rakyat yang hadir pada hari ini mempunyai maruah dan martabat serta nilai perjuangan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama MP dan ADUN di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Mohd Shafie berkata, inilah masanya untuk semua wakil rakyat berdiri teguh demi kepentingan rakyat dan memperjuangkan nasib anak-anak negeri Sabah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cubaan membeli MP dan ADUN parti dalam kerajaan Sabah, Mohd Shafie mengakui sememangnya ada cubaan itu, namun beliau yakin semua wakil rakyat masih berdiri teguh bersama kerajaan.

“Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohammadin Ketapi sendiri memberitahu, beliau ada dihubungi oleh bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebanyak tiga kali.

“Begitu juga beberapa MP lain termasuk MP Kalabakan Ma’mun Sulaiman serta beberapa ADUN. Saya yakin dengan pendirian mereka. Bila kita berdiri teguh, akan ada tekanan yang cuba menggugat kedudukan kita,” katanya.

Mohd Shafie berkata, beliau yakin tekanan yang diberikan itu akan dapat ditangani kerana dalam perjuangan sudah banyak cabaran dan rintangan yang dilalui sebelum ini.

Dalam pertemuan itu, lima wakil rakyat yang tidak hadir adalah ahli parlimen Datuk Mohd Azis Jamman dan Datuk Mohamaddin Ketapi serta tiga ADUN Datuk James Ratib, Datuk Limus Jury serta Calvin Chong Ket Kiun.

Tamat