
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Lahad Datu: Seorang anak yang dikatakan sering dimarahi dan dimaki oleh bapa kandung akhirnya gagal mengawal diri apabila bertindak membunuh bapanya, dalam kejadian di Kampung Ulu Taburi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Talasai Kuyoh, 62, ditemui mati dengan kesan tikaman di tangan dan dagu serta kecederaan akibat dipukul di kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kejadian berlaku di kawasan kebun kelapa sawit milik mangsa yang berada di hadapan rumahnya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, suspek yang juga anak lelaki mangsa berusia 30 tahun diarahkan melakukan beberapa tugasan termasuk membeli batu jalan untuk digunakan di kebun mereka.
“Sebaik selesai melakukan tugasan yang diarahkan, suspek dikatakan terus balik ke rumah dan memasak untuk bapanya.
“Namun ketika sedang memasak, mangsa yang sedang minum minuman keras memanggil suspek ke bawah rumah dan berlaku perselisihan faham antara mereka,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, mangsa kemudian mengambil parang dan terus melibas ke arah suspek sehingga memaksa anaknya melarikan diri ke arah lori di hadapan rumah.
Katanya, suspek kemudiannya mengambil besi pengangkat sawit yang berada di dalam lori berkenaan dipercayai untuk mempertahankan diri.
“Namun, si mati terus mengejar suspek sambil melibas parang dan suspek pula cuba menggelak sambil menghayunkan besi pengangkut sawit sehingga terkena kepala dan beberapa bahagian badan mangsa.
“Akibat beberapa kali dipukul, mangsa akhirnya terjatuh ke arah kawasan bawah bukit manakala suspek terus melarikan diri ke rumah ibu saudara isterinya untuk menceritakan kejadian berkenaan.
“Pada jam 2 petang, suspek kemudiannya ditahan ketua kampung dan beberapa penduduk sebelum diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Tungku,” katanya.

Nasri berkata, siasatan mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada perselisihan faham di antara dua beranak itu dan bapanya juga sering memarahi dan memaki suspek apabila mabuk.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian COVID-19 diperolehi dan siasatan masih diteruskan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif tanpa sebarang kesan pengambilan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan senjata yang digunakan dalam insiden berkenaan juga berjaya diperolehi,” tegasnya.
Tamat





