
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Tuaran: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 5.7, Jalan Tamparuli-Kiulu,
berhampiran Kampung Rangalau Baru, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati, lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun.
Katanya, lori berkenaan bergerak dari arah Kiulu menuju ke Tamparuli, manakala penunggang motosikal dari arah bertentangan.
“Kemalangan berlaku di satu selekoh menuruni bukit yang agak menjunam. Motorsikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas mengelongsor ke arah hadapan lori di lorong bertentangan.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa bertembung dengan lori dan penunggang motorsikal mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran yang tiba di lokasi kemalangan.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tamat







