
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Labuan: Empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dipercayai warga Filipina berjaya ditahan polis dalam operasi yang dijalankan di kawasan pantai Kiansam, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi jam 2 pagi itu, semua warga asing berusia 20 hingga 40-an yang dipercayai baru saja habis melakukan aktiviti memancing ditahan ketika sedang mendaratkan bot pam milik salah seorang suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika ditahan semua suspek terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Katanya, siasatan awal mendapati, semua suspek didapati sudah tinggal di kawasan Kiansam sejak 10 hingga 20 tahun lalu.
“Semua mereka dipercayai tinggal di negara ini secara bersembunyi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Semua suspek direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1953/69,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, pemantauan di sepanjang pesisir pantai Labuan diteruskan bagi mengekang pendaratan PATI yang ingin memasuki wilayah ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, orang ramai juga diminta membantu pihak berkuasa mengekang kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat sekirannya ternampak sebarang pendaratan PATI di sepanjang persisir pantai Labuan.
tamat






