
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan maut selepas kereta yang dipandunya terjunam ke laut dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran bangunan SICC, Tanjung Lipat, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, mangsa Alan Ng Kay Lun, berusia 41 tahun berjaya dikeluarkan dari kereta Mercedes Benz miliknya dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), kira-kira sejam selepas kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza dinaiki tiga individu bergerak dari Kota Kinabalu menuju ke UUC Telipok dan mangsa juga dari arah sama.
Katanya, ketika Perodua Bezza memandu melalui selekoh jalan, pemandu kenderaan berkenaan melihat kereta mangsa dari arah belakang dipercayai bergerak dengan kelajuan tinggi.
“Pemandu Perodua Bezza kemudiannya cuba menukar lorong ke kiri bahu jalan bagi memberi laluan kepada mangsa.
“Namun disebabkan kereta mangsa dipandu laju, berlaku perlanggaran dibahagian kanan belakang kereta Perodua Bezza,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, akibat perlanggaran itu, kereta Mercedes terbabas memasuki kawasan lapang di kiri jalan sebelum melanggar pokok kelapa dan terus terjunam ke dalam laut.
“Mangsa disyaki lemas sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba dari kereta dipandu mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.20 pagi manakala pemandu dan dua penumpang Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
tamat









