
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Keningau: Dua maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh tiang lampu sebelum terputus dua dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, semalam.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, empat mangsa yang menaiki Proton Wira bergerak dari arah Kampung Minodung menuju ke Kampung Kaingaran, Tambunan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama tiga penumpang termasuk dua wanita.
Katanya, ketika sampai di jalan selekoh, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.
“Kemalangan menyebabkan kenderaan dinaiki semua mangsa terputus dua dan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
“Kejadian menyebabkan dua orang wanita meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang hadapan dan penumpang belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pemandu dan seorang lagi penumpang belakang iaitu seorang remaja mengalami kecederaan parah.
“Semua mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu yang disyaki memandu laju sehingga terbabas sendiri,” katanya.
Shahrudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tamat








