
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Pasar Malam dan Tamu Inanam tetap meriah dengan kehadiran ramai pengunjung walaupun terpaksa beroperasi dengan mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Tinjauan di lokasi mendapati, orang ramai mula membanjiri pusat pasar malam itu seawal jam 5 petang.
Kebanyakan pengunjung rata-rata baru pulang dari tempat kerja masing-masing, singgah ke pasar malam untuk membeli keperluan masing-masing sebelum pulang ke rumah.

SOP bermula di dua pintu masuk pasar malam berkenaan dengan pemeriksaan suhu dan pengambilan butiran pengunjung.
Selain itu, setiap meja peniaga juga dipastikan supaya mengamalkan jarak sosial yang sesuai antara satu sama yang lain.

Pengerusi Penjaja Pasar Malam Dan Tamu Inanam, Philip Joseph berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan setiap pengunjung dan peniaga mematuhi SOP ditetapkan.
Katanya, walaupun pasar malam berkenaan terbuka kepada sesiapa tetapi ketika ini kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan masuk bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Setiap pengunjung diwajibkan supaya mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial.
“Sesiapa yang tidak memakai pelitup muka tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan pasar malam ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Philip berkata, beberapa petugas khas juga ditugaskan untuk memantau keadaan dari semasa ke semasa supaya SOP terus dipatuhi orang ramai dan peniaga.
“Kami juga sentiasa bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk memastikan segala peraturan ditetapkan dapat dipatuhi,” katanya.
Tamat





