Tiga Penagih Dadah Ditahan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

PAPAR: Tiga lelaki ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam satu serbuan di kawasan Papar, tengah hari kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, ketiga-tiga suspek berusia 30-an didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphethamine.

Selain itu, dua daripada suspek turut didapati memiliki dadah jenis syabu ketika ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota dan pegawai IPD Papar.

“Hasil saringan awal terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan pemeriksaan lanjut turut mendapati memiliki 5.34 gram syabu keseluruhannya.

“Ketiga-tiganya kini ditahan reman mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) akta yang sama bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, dua daripada suspek turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama kerana memiliki dadah.

Sementara itu, Batholomew berkata, tangkapan yang berjaya dilakukan itu adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah itu.

“Disamping itu, usaha itu dilakukan bagi memastikan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi penduduk setempat.

“Oleh itu, orang ramai diminta terus memaklumkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan,” katanya.

Tamat