Ketua Menteri Berjaya Selesaikan Isu Tanah di Sabah

Kota Kinabalu: Pemuda AMANAH Nasional mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, kerana berjaya menyelesaikan isu tanah di Sabah.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Khairuddin Daud berkata, sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan WARISAN, YAB Ketua Menteri Sabah bertindak pantas dalam menyelesaikan masalah tanah yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah sejak dari era pemerintahan Barisan Nasional.

Katanya, terbaru di Sipitang, seramai 249 orang daripada tujuh kampung menerima geran tanah, manakala 599 penerima dari Beluran menerima geran tanah berkeluasan 4062.32 ekar.

“Reformasi pentadbiran turut dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah apabila geran komunal yang diperkenalkan oleh Tan Sri Musa pada 2010 dihapuskan selari dengan kehendak rakyat yang mahukan pemilikan penuh geran tanah mereka.

“Tindakan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Perikatan Nasional yang memutar belitkan fakta dan menabur fitnah mengenai isu tanah yang diselesaikan oleh Ketua Menteri dengan turun padang menyampaikan geran tanah kepada penerima, adalah amat mengecewakan

“Adakah PBS dan Perikatan Nasional tidak mahu rakyat mendapat manfaat daripada pentadbiran kerajaan? ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Khairuddin berkata, sewajarnya PBS sebagai bekas parti kerajaan Sabah dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan di Persekutuan, menyokong segala usaha dalam menyelesaikan masalah rakyat di Sabah dan bukannya menabur fitnah.

Katanya, tindakan PBS hanya mencemarkan nama parti itu sendiri yang pernah dihormati suatu ketika dahulu.

“Justeru Pemuda AMANAH menzahirkan sokongan padu kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Shafie Apdal untuk terus memimpin dan membangunkan Sabah,” katanya.

Tamat