
KOTA KINABALU: Tiga parah manakala seorang lagi cedera selepas dua pacuan empat roda bertembung dalam kemalangan di Jalan Lintas-Kepayan, berhampiran Cyber City, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kenderaan Isuzu D-max dipandu seorang lelaki yang dikenali sebagai Zico Sulaiman, 37, bersama dua penumpang berusia 18 dan 19 tahun.
Manakala kenderaan Toyota Vigo pula dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Ferdaus berusia 30-an bersama seorang lagi penumpang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati kenderaan Toyota Vigo itu dipercayai hilang kawalan selepas terlanggar takungan air di atas jalan berkenaan.
Katanya, akibat daripada kejadian itu, kereta Toyota Vigo berkenaan dikatakan terus terbabas dan bertembung dengan Isuzu Dmax di lorong bertentangan.
“Pemandu Toyota Vigo tidak mengalami kecederaan, hanya seorang penumpangnya yang mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.
“Manakala pemandu Isuzu Dmax bersama dua orang penumpang parah dan kini masih mendapat rawatan di bahagian kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk namun ketika kejadian keadaan cuaca hujan.
Katanya, siasatan turut mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu Toyota Vigo kerana cuai dan gagal kawal kenderaan semasa memandu sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan ini.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.17 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikejar ke lokasi yang terletak tujuh kilometer dari balai untuk bantuan segera.
“Terdapat empat mangsa yang terlibat dan dua daripada yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tamat







