Pertimbangkan Penubuhan Polis Bantuan di Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan penubuhan polis bantuan di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah JPJKK Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya sudah berbincang dengan beberapa syarikat pemaju dan pengurusan hartanah di negeri ini bagi cadangan menubuhkan polis bantuan.

Katanya, beliau sendiri sudah berbincang dengan pemaju dan pengurusan hartanah berkaitan penubuhan polis bantuan di tiga kawasan di sini.

“Dalam penelitian kami, memang ada kewajaran penubuhan badan berkenaan kerana kita tahu sebarang penambahan jumlah anggota dan pegawai polis akan memakan masa sehingga sembilan bulan.

“Penambahan anggota tidak dapat dilaksanakan dengan kadar segera, oleh itu kita memerlukan syarikat yang mempunyai kekuatan dari segi kewangan, pengurusan dan benar-benar memerlukan polis bantuan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kerusi Roda Kepada Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SPPDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Zainal Abidin berkata, PDRM juga akan mengkaji dan membuat penyelidikan bagi mengenalpasti tahap keperluan mereka.

Katanya, apa yang pasti, IPK Sabah akan ditugaskan untuk mengkaji dan melihat sendiri keperluan polis bantuan di kawasan yang memerlukannya.

“Sebagai contohnya di pelabuhan Sabah Port, disebabkan kekurangan anggota dan pegawai, kita membenarkan menggunakan polis bantuan dan mereka ini sama juga seperti SPDRM,” katanya.

Sementara itu, Zainal turut mengingatkan pasukan bahagian PJKK Sabah supaya lebih produktif dengan penyerahan kereta peronda baharu model Honda Civic ke negeri ini.

“Saya tekankan sini PJKK Sabah untuk lebih produktif. Minggu depan saya akan serahkan kereta Honda Civic ke Sabah.

“Kereta cantik, peralatan canggih, bukan untuk tayang saja. Gunalah untuk tingkatkan tangkapan dan rampasan, barulah Civic sesuai di Sabah,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung majlis itu, Zainal berkata sebanyak tujuh kerusi roda diserahkan kepada anggota SSPDRM di seluruh negara termasuk hari ini.

tamat