
Kota Kinabalu: Mengaku bersalah miliki Mykad palsu, seorang ibu tunggal warga Filipina, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Pengakuan itu dibuat Rowena Llenado, 38, di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie iaitu menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya dari bapa saudara suaminya dengan harga RM5,000.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki MyKad palsu di atas nama Rowena Llenado pada 3 Julai 2020 di sebuah rumah beralamat di L2-0, Blok L, Universiti Apartment 2 (UA2), 88400 Kota Kinabalu, Sabah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000, atau kedua-dua sekali.
Semakan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara juga mendapati semakan kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod jabatan.
Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN Negeri mendapati nombor kad pengenalan 820728-12-6006 atas nama Rowena Llenado ini belum pernah dikeluarkan kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan sijil kelahirannya adalah bukan warganegara.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Binti Abdulah memohon hukuman berat dan maksimum diberikan terhadap tertuduh kerana menggunakan dokumen MayKad palsu.
“Penggunaan kad pengenalan palsu berstatus warganegara oleh individu bukan warganegara pastinya menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara kita.
“Mengambil iktibar dengan kes tembakan seorang pegawai bank pada 2013 oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu.
“Oleh itu, saya mohon hukuman berat dan maksimum diberikan agar dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat di luar sana,” katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam PJ Pereira merayu agar hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak.
Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 20 bulan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
tamat





