Sanggup Terjun Sungai Elak Ditahan.

Kota Kinabalu: Seorang dalang sindiket pengedaran dadah di daerah ini nekad terjun sungai selepas menyedari dirinya cuba ditahan sepasukan polis dalam serbuan di jambatan Sungai Likas, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki warga asing berusia 57 tahun itu tidak berjaya meloloskan diri apabila berjaya ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan suspek bertindak membuang barang kes di tebing sungai sebelum terjun ke sungai untuk mengelak ditahan.

Katanya, pasukan polis kemudian bertindak mengejar suspek dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan menemui 10 peket berisi dadah jenis syabu seberat 517 gram dianggarkan bernilai RM51,700.

“Polis turut merampas satu telefon bimbit dan sejumlah wang tunai yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, siasatan mendapati suspek disyaki menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di daerah ini dan mendapat bekalan dadah di kawasan Kampung Likas, di sini.

“Modus operandi suspek adalah dengan mendapatkan bekalan dadah untuk diedarkan kepada pengedar dadah berskala kecil.

“Malah suspek juga didapati positif dadah,” katanya.

Habibi berkata, suspek tidak memiliki dokuman kini direman selama tujuh hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

tamat