
Kota Kinabalu: Seramai 24 individu ditahan polis selepas didapati aktif menjalankan kegiatan penipuan pelaburan urusniaga ‘Forex’ dalam serbuan di sebuah premis di Donggongon Avenue, Penampang, di sini, hari ini.
Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, semua individu membabitkan 17 lelaki 7 perempuan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Superintendan Moses Govindarajoo berkata, tangkapan membabitkan 21 warga tempatan dan tiga warga China berusia 19 hingga 33 tahun.
Katanya, turut berjaya dirampas, 18 komputer riba, tiga komputer, 184 telefon pintar, 19 buku nota dan 31 keping kad sim.
“Selain itu, polis tuurut merampas lima keping kad ATM pelbagai jenis bank, 28 kerusi dan sebuah kereta MPV Toyota Alphard.
“Semua tangkapan direman sehingga 14 September depan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Moses berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kursng setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana membabitkan tiga tangkapan warga China yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Tamat






