
Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah tidak pernah menaja mana-mana individu untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Setiausaha Agung, Loretto Padua berkata, mana-mana ahli parti yang bertanding sebagai calon bebas dengan secara sendirinya akan terbatal keahlian mereka dalam Warisan.
“Saya menegaskan kepada mana-mana calon ini supaya berhenti mengaitkan Warisan di atas tindakan mereka.
“Kita sedar tindakan mereka itu timbul akibat daripada ketidakpuas hatian terhadap keputusan yang dibuat oleh Parti dalam memilih calon,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Loretto berkata, Parti Warisan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya nama parti berkenaan dikaitkan dengan kempen mereka.
“Kita akan ambil tindakan terhadap mereka sekiranya didapati mengaitkan warisan kononnya mereka ini ditaja parti untuk bertanding sebagai calon bebas.
“Tidak mungkin kita merestui calon bebas ini untuk mengalahkan calon Warisan yang kita pilih sendiri,” katanya.
Loretto berkata, para pengundi diminta agar berwaspada dengan tindakan atau taktik kotor seperti ini.
Tamat






