UPACARA TANDATANGAN NOTA KERJASAMA STRATEGIK PDRM DAN ATM

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Datuk Ahmad Fuad Othman melancarkan dan menyaksikan Majlis  menandatangani Nota Kerjasama Strategik pelaksanaan OP CEGAH PATI (OCP) DARATAN.

Upacara tandatangan itu membabitkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Markas 13 Briged ATM, Felda Sahabat, pagi tadi.

Tujuan utama kerjasama strategik ini adalah bagi memantapkan lagi pelaksanaan dan kerjasama kedua-dua agensi keselamatan itu terutamanya dari segi pembabitan keanggotaan dan aset-aset keselamatan serta ketenteraan yang akan digerakan semasa operasi berkenaan dilaksanakan.

Komander ESSCOM, Ahmad Fuad dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik ini adalah pelengkap kepada operasi Cegah Pati (OCP) laut yang dilancarkan oleh ESSCOM, April lalu.

Katanya, OCP daratan ini akan membabitkan seramai 722 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada PDRM dan ATM yang akan digerakan bagi mengawal kawasan hotspot dan laluan-laluan tikus di daratan.

“Antara kawasan yang dikenalpasti di empat daerah berkenaan ialah meliputi kawasan bermula dari kawasan Kalabakan, Tawau di kawasan selatan sehingga ke utara daerah Sandakan,” katanya.

Dalam majlis berkenaan PDRM diwakili oleh Ketua Staf Operasi Darat ESSCOM, Senior Asisten Komisioner M. Chandra manakala ATM diwakili Panglima 13 Briged Brigadier Jeneral Abd Razak Hussin.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah SAC Mohd Abduh Ismail, Panglima 13 Briged Brigadier Jeneral Abd Razak Hussain, Timbalan Komander ESSCOM Brigadier Jeneral Adnan Abu Hassan dan Ketua Staf Operasi Darat ESSCOM SAC M. Chandra.

Ahmad Fuad berkata, matlamat utamanya adalah untuk mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke daerah ini sekaligus memutuskan rantaian COVID-19.

Selain itu katanya, operasi bersepadu ini juga bertujuan untuk mencegah dan mengekang kemasukan elemen militan daesh dan aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya daripada  kumpulan kidnapping for ransom khasnya daripada Kumpulan Abu Sayyaf ke kawasan perairan daerah hotspot berkenaan.

“Ia juga sebagai satu langkah “show of force” pasukan keselamatan bagi menonjolkan ‘fear factor’ terutamanya di kawasan hotspot dan di kawasan penempatan haram PATI sebagai langkah atau taktik menimbulkan perasaan gerun serta takut kepada pasukan keselamatan”, katanya.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, ianya akan dapat meningkatkan lagi keupayaan ESSCOM dan semua agensi keselamatan di kawasan timur Sabah dalam mengekang dan membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ke empat daerah ini sekaligus mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Saya berharap dengan pelancaran operasi ini, ianya akan dapat meningkatkan lagi keupayaan, kerjasama serta dan komunikasi antara pasukan penguatkuasa yang terlibat dalam op cegah pati daratan ini.

“Ia bagi membendung kemasukan pati ke daerah Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna”, katanya.

Dalam majlis berkenaan, Ahmad Fuad turut menerima perbarisan tabik hormat panglima daripada pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, satu sidang video antara Komander ESSCOM dengan Panglima Angkatan Bersama (PAB) Leftenant Jeneral Datuk Yazid yang kini berada di Kuantan, Pahang, turut diadakan sebagai melahirkan penghargaan di atas kerjasama ini.

Tamat