Dikompaun Selepas Langgar Tempoh Kuarantin.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Beaufort: Seorang lelaki berusia 40 tahun dikenakan kompaun selepas didapati ingkar terhadap arahan kuarantin di rumah yang dikuatkuasakan terhadapnya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya yang menerima maklumat pada jam 10.44 pagi sebelum bertindak mengesan suspek.

Katanya, hasil siasatan mendapati, lelaki terbabit masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya dan diarahkan memakai gelang kuarantin.

“Dia dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan keluar dari rumah untuk ke Pejabat Daerah Beaufort bagi urusan penghantaran borang berkaitan Masyarakat Cina (Kapitan).

“Lelaki terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) 2020,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, polis sentiasa mengambil berat terhadap perbuatan melanggar PKPB dan akan terus memantau dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Azmir menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang kuarantin di rumah berada di tempat awam.

Tamat