Tiga Lelaki Bot Karam Ditemui Selamat.

KUDAT: Tiga lelaki yang hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Kampung Lagaton, Pitas, di sini, petang semalam, ditemui selamat, hari ini.

Semua mangsa terbabit ditemui di perairan Pulau Malawali, di sini, pada jam 7.20 pagi oleh penduduk kampung sebelum perkara itu dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke Kampung Lagaton selepas selesai membeli barang keperluan di Karakit, Pulau Banggi.

Bagaimanapun katanya, tiga mangsa yang dikenali sebagai Helmi Sadron, 28, Mohamad Sahibi, 58 dan Ansar Kirinoh, 34, tidak sampai ke kampung mereka dan usaha ahli keluarga menghubungi mereka juga gagal.

“Kejadian kemudiannya dimaklumkan kepada APMM kira-kira jam 5.30 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dikerah di kawasan sekitar namun masih gagal menemui ketiga-tiga mangsa.

“Operasi disambung semula hari ini membabitkan empat sektor laut dengan keluasan 77 batu persegi melibatkan dua bot APMM, sebuah bot PDRM, sebuah bot TLDM dan beberapa bot penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, pihaknya kemudiannya menerima maklumat, semua mangsa sudah ditemui dan dibawa ke Kampung Narutnung untuk tindakan selanjutnya.

“Ketiga-tiga mangsa ini selamat kerana mereka memakai jaket keselamatan sebelum keluar ke laut.

“Pemakaian jaket keselamatan amat penting untuk keselamatan dan mampu menyelamatkan nyawa,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri sebelum memulakan sebarang aktiviti di laut.

Tamat