Keningau: Dua beradik yang menaiki pacuan empat roda bersama bapa mereka dikhuatiri lemas selepas kenderaan mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Liawan, Kampung Dangulad, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka hanyut selepas air dikatakan tiba-tiba naik mendadak ketika ckba melepasi jambatan konkrit di kampung berkenaan.
Akibat daripada kejadian itu, bapa mangsa sempat keluar dari kenderaan namun kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan perempuan berusia empat tahun itu tidak sempat diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, pihaknya yang menerima panggilan jam 12.08 bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, ketika itu pasukan bomba baru sahaja selesai menjalankan operasi kejadian limpahan di Sungai Pampang, hingga menyebabkan dua rumah yang terletak berhampiran tebing hanyut manakala lima rumah terjejas selepas dimasuki air dan lumpur.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian operasi SAR dilakukan dan pasukan bomba menemui kenderaan dinaiki mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian namun mangsa belum ditemui.
“Operasi SAR kemudian ditangguh jam 1.30 pagi dan akan disambung semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian di Sungai Pampang, Mudi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat limpahan air daripada bukit susulan hujan yang berlaku di kawasan bukit berkenaan.
“Setakat ini, dua rumah dihanyutkan manakala lima terjejas namun semua penghuni selamat selepas berjaya keluar daripada rumah berkenaan.
“Air mula surut jam 11 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Operasi itu turut dibantu agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Ketika kejadian, keadaan cuaca dilaporkan baik sebelum air sungai Kampung Pampang tiba-tiba naik secara mendadak sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian limpahan air sungai itu kemudiannya bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
Untuk rekod, Sungai Pampang adalah antara sungai yang terbabit dalam kejadian ribut tropika Greg yang berlaku pada tahun 1996 sehingga mengorbankan banyak nyawa.
Tamat









