Lelaki Gantung Diri Ditemui.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditemui tergantung di paip air dipercayai membunuh diri dengan menggunakan kain dalam kejadian di Sungai Sembulan, Jalan Tunku Abdul Rahman, berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mayat lelaki yang belum dikenalpasti identitinya itu ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada anggota polis yang sedang bertugas di pondok pengawal IPD Kota Kinabalu, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Difahamkan, sebelum penemuan itu, lelaki terbabit dikatakan kelihatan duduk berhampiran lokasi kejadian sambil memegang kain sebelum menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan anggota dan pegawai polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, pemeriksaan mendapati, terdapat seorang lelaki yang ditemui tergantung di jambatan yang menempatkan laluan paip air.

“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai baru berlaku dan lelaki terbabit mengantung diri menggunakan kain yang diikat pada paip besi air.

“Setakat ini  tiada sebarang unsur jenayah ditemui namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar insiden itu berlaku,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata, pasukan polis, bomba dan kakitangan Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha menurukan mangsa dari lokasi berkenaan.

“Mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Tamat