KOTA KINABALU: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu memberi respon kepada maklumat yang diterima berjaya menyelamatkan seorang lelaki terjatuh laut di perairan Pulau Mantanani, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan menaiki perahu untuk memasang bubu di kawasan berkenaan sebelum terjatuh ke laut.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.
“Bertindak atas maklumat awal, Botronda yang sedang beroperasi Op Benteng / Op Covid-19 dikerah menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan perairan Pulau Mantanani.
“Walaupun keadaan cuaca tidak menentu. Botronda PGR 6 berjaya tiba di lokasi sejauh 48.8 batu nautika dari pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Enturan berkata, mangsa yang jatuh ke laut diselamatkan salah seorang pekerja Sutera Mantanani.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Di Pos Pulau Mantanani.
“Mangsa dibawa oleh Botronda Pasukan Polis Marin ke jeti Usukan Kota Belud untuk menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud,” katanya.
Tamat









