Kadar Indeks Kes Jenayah Kota Kinabalu Turun.

KOTA KINABALU: Kadar indeks jenayah di daerah ini bagi tempoh Januari hingga 16 Disember tahun ini mencatatkan penurunan keseluruhan sebanyak 19.22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Angka itu bersamaan 965 kes membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,194 kes.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah kes yang direkodkan itu, polis berjaya menyelesaikan 58.34 peratus kes jenayah sepanjang tahun ini.

Katanya, kes jenayah yang dilaporkan membabitkan kes bunuh, samun, sindiket curi, rogol dan curi kenderaan yang dicatatkan berlaku di daerah ini.

“Trend penurunan jenayah ini susulan kejayaan strategi pelaksanaan operasi bersepadu dalam mencegah dan membanteras jenayah termasuk aktiviti dadah.

“Kejayaan ini juga hasil usaha semua pihak termasuk hubungan akrab dan peranan masyarakat serta tanggungjawab yang dimainkan pengamal media untuk menyampaikan maklumat positif kepada umum sekaligus melonjakkan imej polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Akhir Tahun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Habibi berkata, antara kes yang berjaya dikurangkan adalah membabitkan kes samun tanpa senjata api yang menunjukkan penurunan sebanyak dua kes dan sindiket curi yang menurun sebanyak 81 kes bersamaan dengan 15.85 peratus.

“Bagi kes rogol pula, turut menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 12 kes bersamaan 37.5 peratus.

“Begitu juga dengan kes membabitkan curi kenderaan motokar yang turun sebanyak 34 kes bersamaan menurun 14.66 peratus,” katanya.

Habibi berkata, bagi kes pecah rumah pula menurun sebanyak 45 kes berbanding tempoh sama tahun lalu bersamaan 13.08 peratus.

Tamat