
Kota Kinabalu: Seorang pemandu bersama penumpangnya maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sendiri dipercayai akibat dipandu laju dalam kejadian di Jalan Kepayan, berhampiran bangunan Aeropod, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Mohd Ikbal Doi, 36, dan bapa mertuanya, Makin Balli, 50-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di badan dan kepala akibat rempuhan ke tiang jejambat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa menaiki pacuan empat roda jenis Isuzu DMax dari Putatan menuju ke Wisma Muis.
Katanya, kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menghantar kenderaan pacuan empat roda berkenaan kepada pemiliknya yang juga kenalan keluarga mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandu laju sehingga terbabas dan merempuh tiang jejambat.
“Akibat dari insiden berkenaan, kedua-dua mangsa tersepit dan polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu mengeluarkan mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, sebaik berjaya dikeluarkan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Dr. Nurshafiqah Azhar.
Katanya, pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darah sudah diambil untuk analisis alkohol dan dadah di Jabatan Kimia.
“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu yang memandu secara melulu dengan kelajuan yang tinggi.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”’katanya.
Tamat








